Isnin, 28 Mac 2016

MATI ITU BUTA


MATI ITU BUTA



Kalau orang kata cinta itu buta, mati itu lebih lagi butanya.
Tidak peduli terbilang atau yang hina-dina
Tidak mengenal kaya atau yang papa kedana
Tidak menilai rupawan atau yang hodoh kelam
Tidak kisah muda metah atau yang tua renta

Hatta yang sihat bugar atau yang sakit terlantar

Datangnya tidak bersopan, tidak tahu memberi salam.
Kala larut malam atau tika siang rembang
Dalam sukar atau tika senang
Dalam bersedia atau sedang merewang
Tanpa kira waktu dia datang bertandang
Mengangkut pulang roh meninggalkan badan

Maka bersiap-siaplah sentiasa, wahai teman
Kerana mati itu buta, tidak memandang.


sh. umamah al-edrus
29hb. Mac 2016
Gombak, Kuala Lumpur.