Khamis, 2 Jun 2016

Ulasan Novel



TUHAN MANUSIA
Karya Dr. Faisal Tehrani
Genre: Novel
Terbitan; Al- Ameen Serve Holdings
Tahun 2007.



Kecelaruan berfikir dalam agama telah menyebabkan runtuhnya budaya dan seterusnya meranapkan peradaban. Maka kata-kata, kota itu peradaban, rumah adalah budaya, tiang serinya adalah agama menjadi sari kepada mesej keseluruhan yang hendak disampaikan oleh penulis. Apakah yang dimaksudkan dengan budaya dan apakah yang dimaksudkan dengan peradaban telah dihuraikan pada bab-bab akhir novel ini manakala persoalan pluralisme dan liberalisme dihuraikan dengan panjang lebar melalui dialog watak-watak.



Maka apa yang dapat saya ulaskan mengenai novel ini, penulisnya telah membuat kajian mendalam tentang kecelaruan agama dan punca kepada permasalahan ini. Penjelasan tentang pluralisme dalam novel ini memang memberi kefahaman kepada pembaca tentang persoalan itu. Namun penghuraian tentang persoalan ini dalam bentuk diolog antara watak dan bukan dicetuskan melalui watak menjadikan novel ini seperti memberi syarahan dalam bilik kuliyyah. Sememangnya dalam prakata novel ini, penulis mengakui, dengan sengaja meneruskan genre khutbah, maka apa yang saya lihat pada novel ini , penulis lebih cenderung untuk menyampaikan mesejnya berbanding menitik beratkan konflik watak sehingga huraiannya begitu tepu dengan maklumat dan ayat-ayat Quran.



Tuhan Manusia menceritakan tentang seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun bernama Ali Talqi dan abangnya Talha. Talha dikatakan telah murtad dan menghilangkan diri menyebabkan kesedihan yang mendalam terhadap ayahandanya Mohamad. Sementara ibunya telah meninggal dunia menjadikan Mohamad menjadi seorang yang pendiam dan hanya sibuk dengan binatang ternakannya. Talha yang murtad telah menyebabkan adiknya Ali Talqi mencari kefahaman yang lebih mendalam tentang pluralisme, kefahaman yang menyebabkan abangnya murtad. Encik Aris, ayah kepada Zehra dikatakan orang yang bertanggunjawab menyebabkan Talha menjadi murtad. Pemikiran Zehra juga banyak dipengaruhi oleh ayahnya sendiri. Namun Encik Aris akhirnya kesal apabila mendapati Talha itu anak kepada Saodah (isteri Mohamad) yang sewaktu gadisnya menjadi rebutan antara Aris dan Mohamad. Apakah yang berlaku kepada Talha? Pada akhir bab novel ini, Mohamad dan Ali Talqi mendapat tahu Talha telah meninggal dunia apabila rumahnya dilanda puting beliung. Hanya rumahnya dan tidak rumah orang lain.




Sepanjang penceritaan ini, kelihatan Ali Talqi begitu ghairah mencari pengertian tentang pluralisme malah daripada dialog antara dia dengan Zehra kelihatannya seperti Ali Talqi sudah lama membuat kajian tentang hal ini (pada usia 17 tahun). Dialognya dengan dialog Prof. Mahfuz bernada sama. Keresahan dan kekecewaan Talqi terhadap abangnya yang murtad tidak begitu dirasakan malah watak Talha tidak ditonjolkan bahkan tidak wujud sebagai seorang yang sedang celaru. Sebaliknya yang kelihatan celaru itu ialah Zehra, rakan sebaya dan sekelas. Talha hanya menjadi objek kepada sebab Talqi mencari pengertian tentang pluralisme dan pencarian Ali Talqi itu digunakan oleh penulis menghuraikan tentang apa itu pluralisme dan kecelaruan dalam memahami agama.



Sememangnya sukar untuk menerapkan falsafah atau mesej Islam dalam karya kreatif. Gaya khutbah dalam penceritaan dikatakan gaya yang lemah dari sudut penulisan kreatif dan sebolehnya dielakkan jika mahu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pemikiran dan jiwa pembaca. Bagaimana pun, novel ini tepu dengan maklumat dan huraian tentang pluralisme serta permasalahan umat Islam kini yang boleh dimanfaat oleh pembaca.



Wallahu’alam.





SH. UMAMAH AL-EDRUS
2hb. JUN 2016
GOMBAK, KL.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan