Isnin, 14 Disember 2015

Rahsia itu berada dalam diri, bukan pada nama yang terukir di atas kertas, atau pada bangunan institusi. Kejujuran bermula dari dalam diri sendiri dan kembali kepada diri sendiri, meskipun usaha yang dilakukan barangkali tidak dihargai atau tidak menepati apa yang diingini oleh semua yang berada di sisi. Kejujuran akan menukar sekeping roti menjadi hidangan istimewa yang membawa kebahagiaan abadi.

Isnin, 7 Disember 2015

Bumbung kalau bocor selalu, itu petanda mesti diganti dengan yang baharu. Yang baharu pun pilihlah daripada jenis yang baik-baik. Kalau tidak, baru pakai sudah bocor lagi. Tidaklah yang berlindung di bawah bumbung itu sentiasa hidup dalam resah gelisah.
Hanya sekali jentik, titisan-titisan air seperti embun yang bertaburan di atas permukaan daun mudah saja dilenyapkan ... tetapi ingat, titisan-titisan air yang berpadu menjadi ombak besar atau arus yang deras mampu memecahkan tebing yang berkarang malah mampu meruntuhkan benteng yang kukuh.

Jumaat, 30 Oktober 2015



SEBANDING BIJI SAWI





Hendak mencapai langit

Tangan sejengkal tidak tersampai

Menghentak kaki ke bumi

Terbelah, retak pun tidak

Kalau diri sebanding biji sawi

Jangan mimpi menakluk bumi

Jangankan hidung ditinggikan ke langit

Nyawa sendiri tidak terkendali

Kelak mati pun nanti

Kubur sendiri tidak tergali

20hb. Disember 2013

Selasa, 15 September 2015



GELANDANGAN


Bertilamkan tanah
Beratapkan langit
Berselimutkan embun
Bermandikan hujan

Pakaiannya rabak kusam
Makanannya di tong-tong sampah
Bersama anjing, tikus dan lipas
Mengais sisa-sisa remeh yang dibuang
Di lorong belakang KFC, McD dan NZ Curry House
Buat mengisi tuntutan perut nan kosong
Meski kenyang lapar tak hilang
Minum sejuk haus tak lepas
Namun dia bagaikan puas

Hidupnya menyusur jalan
Lalu langkahnya terhenti di persimpangan
Di situ dia akan berdiri
Buntu, beku dan keliru
Memilih jalan yang hendak dituju

Aku termangu
Bibirku terkunci padu
Kutoleh ke belakang meniti hari-hari nan lalu
Tidak pernah sehari dalam hidupku, aku lapar
Tidak pernah sehari dalam hidupku, aku berembun
Tidak pernah pun sehari dalam hidupku, aku bergelandangan

Lalu setitik airmataku
gugur menyembah bumi.

Sh. Umamah Al-Edrus
17hb Oct 2010.
Gombak, K.Lumpur.

Khamis, 30 Julai 2015

TIKUS



Nak termuntah menonton watak tikus dalam cerita Teenage Mutant Ninja Turtle. Bukan itu sahaja malah seperti terbau-bau busuknya watak tikus itu keluar dari skrin tv. Dengan gambaran lendir dan air liur meleleh dari mulut dan hidungnya yang muncung… loya tekak menggambarkannya. Tikus tua berjanggut, bertaring, berekor panjang dan hodoh ini rupa-rupanya ‘tok guru’ atau ‘sensei’ kepada 4 ekor/orang ‘turtle’. Dalam cerita Kungfu Panda, watak beruang yang gemuk dan lembik, tikus tua juga menjadi tok gurunya. Tikus diangkat menjadi satria. Sementara dalam cerita Tom And Jerry, si tikus bernama Jerry memperbodohkan anjing, kucing dan majikannya. Mickey Mouse berwatak lincah , dilihat sebagai tikus cerdik malah disanjung-sanjung pula.Menjadi idola kepada kanak-kanak sehingga anak-anak begitu bahagia memiliki Mickey Mouse yang dijelmakan dalam bentuk boneka dan lukisan sedangkan hakikatnya tikus itu hidup di lorong-lorong kotor dan berenang-renang di dalam longkang yang busuk. Dalam cerita Ratatouille, seekor tikus ini dikatakan tidak suka memakan makanan yang kotor malah dapat menyediakan makanan yang enak dan menjadi tukang masak yang hebat. Tikus diangkat menjadi chef.


Begitulah sesetengah manusia cuba mengangkat martabat tikus, menjadikannya satria, cerdik, pembersih, chef dan haiwan yang hebat. Namun Tuhan tidak menjadikan tikus untuk menjadi satria, cerdik, pembersih dan hebat. sebaliknya menjadikan tikus antara haiwan yang paling kotor. Sementara tikus-tikus putih yang dijadikan Tuhan telah dipelihara untuk tujuan kajian perubatan… mencari panawar bagi manusia sebab tikus dikatakan mempunyai sistem badan yang sama dengan manusia dan membunuhnya ketika melakukan ujian makmal tidak dianggap zalim. Tikus Belanda pula dijadikan binatang penghibur apabila dijadikan sirkus untuk anak-anak. Dan Tuhan jadikan haiwan kotor ini hidup untuk mengajar manusia akan erti menjaga kebersihan sebab manusia yang pengotor akan menjemput tikus untuk berkongsi rumah dan persekitarannya. Menjemput tikus bererti menjemput penyakit dan penyakit ‘kencing tikus’ dikatakan boleh membunuh. Jika tikus diangkat martabatnya, menjadi satria maka tentu dia akan membunuh para pengkaji perubatan kerana membunuh tikus-tikus putih. Kanak-kanak marah tikus dibunuh kerana telah terbit rasa sayang terhadap tikus idola dan tikus-tikus mahukan makanan yang bersih dan enak-enak, maka apakah yang akan terjadi kepada manusia itu sendiri?

Begitulah bagi sesetengah manusia, mahu mengangkat martabat binatang sementara kebanyakan manusia sudah jatuh martabatnya… pengotor, pengecut, pencuri, ganas, dengki, saling menyalahi dan lagi dan lagi.
,
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
Kuala Lumpur.
27 Julai 2015

AMSAL DARI DURIAN


Durian… siapakah yang tidak kenal durian? Badannya berduri-duri, sangat tajam tapi isinya yang kuning dan lembik serta baunya yang semerbak menjadikan dia buah yang sangat digemari. Banyak peminatnya sehingga dia diangkat sebagai Raja Buah, menjadikannya buah sangat digeruni oleh buah-buah yang lain. Yang meminatinya, begitu tergila-gila menikmati sehingga menjilat-jilat jari, biar pun memakannya berlebih-lebih boleh membuatkan badan si pemakan berpeluh-peluh siang dan malam kerana durian memang buahnya ‘panas’. Kalau sudah tergila-gila, panas pun sudah tidak peduli lagi. Akan tetapi aneh ya! Kendati pun banyak yang tergila-gila sehingga menjilat-jilat jari, ada juga yang hendak termuntah hanya dengan menghidunya. Kalau dijamah barangkali boleh sakit jiwa agaknya, lalu durian menjadi buah yang dibenci pula oleh yang tidak sukakannya. Sehingga kerap kali ‘durian’ yang banyak penggemar ini dilarang pula dibawa ke tempat-tempat tertentu. Siap diletakkan gambar durian yang dipalang dengan tanda merah sebagai tanda amaran. Owh, jadi bahaya pula durian ini! Bahayanya bukan pada durinya yang tajam tetapi bahayanya ialah pada baunya yang mengancam.
Jadi kalau makan durian, jangan hanya tahu makan tetapi fikirkan amsal yang boleh diangkat daripadanya kerana tidak ada perumpamaan semesta yang terpisah daripada manusia. 
“Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu, Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang yang berilmu yang dapat memahaminya.”Al-Ankabut: 43.

Isnin, 29 Jun 2015

SI PAK TURUT

SI PAK TURUT


Jangan engkau katakan ;
aku lihat,
padahal engkau tidak melihat
aku dengar,
padahal engkau tidak mendengar
aku tahu,
padahal engkau tidak tahu

ke mana-mana orang pergi
engkau pergi
apakah tujuan orang itu,
engkau tidak tahu


Jika orang menyadung lopak
engkau menjunam ke dalam gaung.

sh. umamah sy. abdullah al-edrus
30 JUN 2015
11.00 , Gombak, KL.

Rabu, 27 Mei 2015

DEMI SELOPAK AIR

Di ranah yang kontang
manusia sanggup berbunuhan
demi merebutkan selopak air
meski air itu keruh sekali
kerana ketika kehausan
manusia mudah lupa
apakah itu erti kemanusiaan.