Ahad, 21 Disember 2014

WALIMATUL URUS


Walimatul urus! Maka banyaklah jemputan yang saya terima (tentunya anda juga) terutamanya waktu musim cuti sekolah begini. Kali ini banyak jemputan datangnya daripada mereka yang pernah mendapat bimbingan belajar daripada saya. Sekelip mata, daripada status pelajar kini mereka benar-benar telah dewasa dan berumahtangga pula malah ada yang sudah pun mempunyai beberapa cahaya mata. Pantas sekali masa itu berlalu dan sepintas itu memberi maksud bahawa saya juga sudah beralih umur, semakin hampir untuk kembali kepada kejadian asal, iaitu tanah.


Namun bukan itu yang mahu saya kupaskan. Setiap kali memenuhi tuntutan jemputan itu, saya dapat berasakan betapa ibu dan ayah kepada pengantin-pengantin ini begitu memikul tanggungjawab di bahu mereka, mengadakan walimahtul urus, meraikan peralihan hidup anaknya itu dalam suasana yang meriangkan. Tidak mengira sama ada besar atau kecil majlis yang diraikan, namun anak-anak ini mesti diraikan. Biarpun dalam suasana harga barang yang naik dan kengkangan kewangan yang kerapkali memeningkan, namun majlis mesti diadakan.

Majlis diadakan, adakah kerana takut kepada ‘kata-kata orang’ atau kerana tidak mahu anak-anak akan berkecil hati jika diadakan majils seadanya atau kerana tidak mahu menongkah arus adat dan budaya yang sudah lama dibentuk? Biar apapun telahan yang dibuat, majlis mesti diadakan bagi mengkhabarkan bahawa anak-anak ini kini sudah mempunyai pasangan yang sah malah barangkali itulah kebahagian dan kelegaan ibu dan ayah setelah membesarkan dan memberikan didikan, maka tanggungjawab yang lainnya sebagai seorang Islam ialah mencarikan anak-anak pasangan hidup masing-masing (jika mereka masih tidak mempunyai calon).

Apapun, dalam meraikan anak-anak dan menunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah, laksanakanlah mengikut kemampuan. Islam tidak pernah membebankan tetapi yang penting hasrat hati anak-anak itu dapat ditunaikan dan dorongan serta bisikan syaitan itu dapat ditumpaskan. Seorang sahabat warga Pakistan pernah melontarkan pandangannya bahawa walimahtul urus di Malaysia ini sangat mudah, tidak ‘cerewet’ dan beliau sukakannya jika dibandingkan di negaranya yang terpaksa meraikannya secara bertahap-tahap, berhari-hari serta terikat dengan adat dan tentunya memakan belanja yang besar. Lalu saya terdiam dan cuba melarutkan diri dalam kata-katanya itu.

Akhir kata, kepada pasangan pengantin yang dipanjat asap kemenyan, semoga sentiasa dalam maunah-Nya selama melayari bahtera berumah-tangga. Yang belum dipanjat asap kemenyan, cepat-cepatlah cari ‘kemenyannya’.

meniti batas kehidupan ...
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
22/12/2014
12:00