Khamis, 20 November 2014

HAMKA



Apabila zikir dan syukur telah tumbuh dalam hati, mulailah terasa bahawa kehidupan makhluk seluruhnya, termasuk kehidupan kita sendiri tidaklah pernah terlepas daripada kasih sayang dan kemurahan Tuhan. Ke mana sahaja pun mata memandang, Rahman-Ilahi akan jelas nampak. Rahman-Ilahi meliputi segala. Terasa kecil diri di hadapan kebesaran-Nya dan bersedialah kita dengan segala kerelaan hati buat menjadi hamba Tuhan Pemurah itu. Orang-orang yang insaf itulah "Ibadur ar-Rahman".

................HAMKA : tafsir al-Azhar...............

HAMKA



Dalam dirimu ternyata sekarang bahawa benda yang bernama mata hanyalah alamat sahaja daripada adanya nurani yang kudus dalam dirimu. Dan alam sekeliling yang kelihatan oleh matamu itu hanyalah petanda saja, hanyalah ayat sahaja daripada hakikat yang sebenarnya. Hakikat yang sebenarnya itu bersifat Kasih dan Murah. Itulah dia Allah. Itulah Dia, Ar-Rahman.

..............HAMKA : tafsir al-Azhar................

HAMKA



Dalam diri manusia  itu selalu terjadi pertentangan antara cita-cita yang tinggi dengan hawa nafsu, angkara dengan murka. Sudah terang apabila hawa nafsu dan angkara murka itu tidak terkendali, iman akan hancur ke dalam kehancuran dan darjatnya akan jatuh menjadi binatang. Sudah nyata bahawa hidupnya akan kusut dan masyarakatnya kacau-bilau, yang kuat menindas yang lemah dan yang kuasa menekan yang tidak berkuasa, pada hal makhluk yang ditindas itu manusia juga, mempunyai nilai-nilai kemanusian yang dapat dipergunakan menghasilkan rahsia Tuhan dalam alam.

.............HAMKA : tafsir al-Azhar............

HAMKA




Cuba lihat  ke langit pada waktu malam. Engkau rasakan kedamaian hatimu kerana melihat bintang beribu-ribu. Engkau rasakan kedamaian hatimu melihat bintang sejak sabitnya sampai purnamanya dan sampai dia susut kembali. Engkau rasakanlah keindahan fajar sehingga matahari naik. Engkau rasakanlah kesegaran warna lembayung  kala pagi. Engkau rasakanlah mega berarak kala waktu sore. Engkau rasakanlah ombak membanting dirinya ke pantai beribu-ribu tahun.


Sekarang engkau simpulkan apakah yang engkau lihat dalam hidupmu? Insan yang kecil di tengah alam yang besar?


Aku melihat kebesaran.

Matamukah yang melihat, ataukah penglihatan yang lebih dalam berbanding mata?

Aku melihat dengan penglihatan yang lebih dalam berbanding mata.

Sudahkan engkau percaya sekarang bahawa di sebalik matamu ini ada penglihatan lain? Di sebalik jasmanimu ada hakikat yang sebenarnya, iaitu rohanimu? Akalmu, fikiranmu dan rasamu? 

Sekarang aku sudah percaya.


Dengan hati nuranimu engkau melihat pula YANG SEBENARNYA ADA. Penglihatan hatimu telah melampaui apa-apa yang terlihat oleh matamu. Tinggal sekarang matamu hanya semata alat penyambung daripada hatimu.


............HAMKA : tafsir al-Azhar.........