Khamis, 23 Oktober 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Jika seseorang itu membicarakan hal-hal kebaikan dengan irama hati yang tidak sewajarnya, apabila tiba masa ujian kata-kata terhadap diri sendiri, mungkin boleh terjerumus ke lembah kegelinciran yang tidak diingini walaupun di tempat dan situasi yang berbeza. Sesetengah ayat dan perkataan barangkali mendatangkan cabaran yang besar terhadap diri sendiri pada saat ujian, lantas apa yang dimiliki terdedah pada kehilangan. Lantaran itulah, para ahli maʿrifah berpesan tentang mengawasi perasaan diri dan kejujurannya apabila membicarakan hal-hal kebaikan. Sesungguhnya lisan boleh menyuluh atau menghijab cahaya terhadap diri. Semoga Allah memelihara kita dalam kebaikan.

Abu Hayyan al-Aydrus



Masa berlalu bersama perubahan-perubahan dalam kehidupan insan. Seorang insan yang mengakui keimanan sudah tentu tidak mahu perubahan yang tidak menambahkan kebaikan. Diusahakannya membicarakan yang benar dan sesuai, mudah-mudahan diperbaik oleh Allah pekerjaan dan perbuatan dirinya. Namun diingatkan dirinya juga bahawa bicara kebaikan seseorang insan itu akan selalu diuji terhadap dirinya sendiri. Ayat al-Qurʾān membekalkan soalan ‘adakah manusia menyangka bahawa mereka ditinggalkan untuk mengatakan kami mengakui (keimanan) sedangkan mereka tidak diperiksa (kejujurannya)?

Abu Hayyan al-Aydrus




Hati tidak boleh memerhati kecuali dengan ilmu. Saya tidak tahu apa lagi yang lebih indah daripada ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah. Seorang ilmuwan terdahulu pernah berkata : Seseorang tidak mungkin menjaga kejujuran hatinya dengan Allah selama empat puluh hari melainkan akan terbit hikmah kebijaksanaan di atas lidahnya.


Lidah dan kata-kata adalah sukar untuk dijaga sehingga tepat apatah lagi ketika bergurau. Tapi itulah watak al-ṣiddīqūn. Mereka yang cuba menjadi siddiq (jujur & tepat dalam segala-galanya termasuk kata-kata gurauan) sehingga tertulis sebagai al-siddiq di sisi Allah. Ini berbeza daripada apa yang psikologi moden sebut sebagai perfectionist kerana siddiq adalah dengan ilmu dan kurniaan Allah. Alangkah indahnya mereka kerana bersama para anbiya.

Mata, jika bukan kerana ia jalan ilmu mendekatkan diri kepada Allah, apalah keindahan yang dapat diberikan oleh mata melainkan keresahan jiwa kerana terpukau akan dunia. Kita ini tidak lama di sini...

Abu Hayyan al-Aydrus



Menelusuri perjalanan mereka sentiasa menyampaikan kita kepada kekasih al-Musṭafā ṣallalLāh ʿalayhi wa sallam. Ia adalah sejarah bagaimana bicara baginda dan bicara tentang baginda ditatang dan dilindungi daripada bicara-bicara asing. Pengembaraan mereka dan pengorbanan pelbagai bentuk yang dirakam dalam sejarah menjadi saksi. Berteduh tak terelak tempias mentari terik, berhujan bukan untuk menikmati pelangi cantik. Berkorban maruah diri dianggap dungu hanya menyampaikan tanpa kemampuan intelek yang jitu. Terpaksa menzahirkan aib saudara yang mulia, mendedahkan diri kepada bahaya berbicara, demi meluruskan jalan-jalan menuju kebenaran. Ada yang terlipat lidahnya daripada bicara yang tidak penting dan tidak perlu, malahan daripada ketawa dan senda gurauan. Mereka mencabar sebahagian isi dunia tentang makna perjuangan. Bagaikan insan bisu yang memberitahu kawannya, ada kebahagiaan yang ditemui tanpa ketawa.

Abu Hayyan al-Aydrus



Dari Muharam ke Muharam, sungai kehidupan terus mengalir. Orang Arab memanggil sungai kecil yang mengalir, 'jadwal'. Jadual kehidupan insan mengalir bersama tera dan kira, tata dan cara. Arus mengalir, jadual berakhir. Pesan seorang guru, ziarahilah taman yang akan mengingatkan engkau hari terakhir. Ia merupakan perhiasan penuntut ilmu. Alangkah rugi bertahun-tahun menimba ilmu, tidak diziarahi taman yang memandu. Sama ada engkau memasang jentera atau mengunci kira, menata diri atau mena'akul bicara, peringatan yang memadai buat seseorang hamba ialah saat berakhirnya suatu jadual.
Abu Hayyan al-Aydrus


Kepelbagaian bangsa menyumbang kepada taʿāruf dan maʿrifah. Kita tidak belajar untuk menjadi berbeza tetapi untuk menghayati kecantikan dan menjawab soalan-soalan yang betul. Sekiranya ilmu menunjukkan jalan ke syurga, maka ilmu akan menunjukkan kecantikan dan keyakinan, bukan kebingungan. Kepelbagaian yang membawa kebingungan tentu bukan ilmu dan ia berpunca daripada soalan-soalan yang salah. Alhamdulillah, kita telah diberi panduan untuk membetulkan soalan kehidupan dan mendapatkan jawapan.
Abu Hayyan al-Aydrus


Kita menjadi lemah dan melemahkan orang sekeliliing kerana percaya kepada keadaan yang negatif. Mukmin itu yakin. Dia merasa manis. Dia penuh kasih-sayang. Kerana dia telah tahu. Dia tidak banyak berbicara tentang keburukan melainkan dengan begitu teliti dan teratur. Lidahnya terjaga dan doanya penuh makna. Orang yang berbicara dengannya tiba-tiba akan penuh harapan pada Tuhan.

Abu Hayyan al-Aydrus


Air mata juga tidak semestinya menceritakan kesedihan. Adakalanya ia seakan-akan titisan air yang menanggung kerinduan yang mendalam untuk bergelora dan berirama dengan harmoni di lautan luas, mengingatkan diri tentang keluasan dan irama samudera ilmu.
'AZAB

air mala
bauran darah dan nanah
direguk juga dengan payah
melepaskan dahaga yang semakin parah
datang pula kepadanya
maut dari setiap penjuru
namun tidaklah juga dia mati
sedang dari belakangnya
azab berat sedang menanti


9 september 2013