Khamis, 24 April 2014

WAJAH YANG KIAN PUDAR



WAJAH YANG KIAN PUDAR




Gombak...
sudah pudar wajahnya
sudah hilang ronanya
sudah lenyap rohnya
sedang mati adab dan budinya
tidak lagi dingin
tidak lagi permai

aku tidak ketemu lagi bukit nan hijau
atau lereng bukit yang berdenai
nan dicelahannya ada dusun
yang boleh kupetik jering, kerdas dan petai
atau rambai, ciku, pulasan, manggis dan binjai
malah buah sebesar cermai

atau kali nan jernih tempat ikan bermain
selam-menyelam dalam decah-decuh pusaran air
gelak-tawa bersama anak-anak bermandi sungai
monyet dan tupai turut terintai-intai

atas nama ilmu dan budi
katanya mahu membangunkan diri
bermacam-aneka yang berdiri
rumah berhimpit dan pangsapuri
kedai berderet dan pusat pengajian tinggi
bukit pun diratah dan sungai ditelanjangi
embun pun hilang tempat meniti

yang tinggal hanyalah air mata kali
mengalir lesu dalam sangsai
atas tanah yang sudah landai
haiwan hutan hilang tempat bersantai
haiwan sungai mati tersadai
beburung hilang tempat bersidai

Gombak…
udaranya telah disalai
tanahnya sudah tergadai!

sh. umamah sy. abdullah
GOMBAK, KL.
17 hb. April 2014
13:00