Isnin, 31 Disember 2012

DARI PENTAS TWINS OF FAITH

                 Dari satu penjuru , aku melihat dan mendengar dengan haru. Bagaikan sepohon pokok, berbatang kayu yang tegap, dijulangi ranting-ranting yang menggenggam erat daun-daun hijau yang bergantungan agar daun-daun hijau itu melarut cahaya gemilang mentari. Pucuk-pucuk mudanya merecup dengan putik-putiknya yang bakal menggayutkan buah yang berwarna galak bagi menawan hati siunggas menghinggap dan menikmatinya. Pohon ini kukuh berdiri di atas perdunya yang tegap manakala akarnya menjalar, menjangkar kukuh sehingga jauh ke dalam tanah. Setiap satu saling membantu dan saling mengikat dalam menghidupkan satu kehidupan untuk mengabdikan diri kepada Yang Menciptakan. 







                  SubhanaaLlah! Itulah yang aku lihat di atas pentas di dalam dewan yang besar ini. Berbicara tentang akidah, tentang kasih sayang, tentang RasulLullah sallahu alaihi wassalam , tentang kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala, dalam suasana yang sangat beradab dan kaya dengan limpahan kecintaan. Dari jalanan yang dikelilingi kemaksiatan dan daripada kehidupan yang diapungi kekeliruan, yang berkulit putih, yang berkulit hitam, yang berkulit sawo matang, bersatu di atas pentas , meluahkan keberuntungan menjadi Muslim dan kelazatan menjadi muhsin dan setiap diri mencita-citakan Jannah malah dalam leraian air mata , mengidamkan untuk melihat wajah Allah subhanahu wa ta’ala.


                     Bersatu , berdiri kukuh atas perdu Islam dengan iman sebagai akar yang menjangkar kukuh , menghasratkan kehidupan yang diredai di dunia dan di akhirat. Keistimewaan yang sangat luarbiasa, berbicara dengan lancar dan berseni, sarat berisi dan mudah dimengerti serta dihadami, aku menjadi sangat kagum. Kepelbagaian dan peranan seumpama sepohon pokok , andai bersatu dan tunduk pada sunnahtuLlah , akan terpancar keindahan yang sangat luarbiasa, sebagaimana yang aku dapat dengar dan lihat dari satu penjuru di bawah lampu yang kelam-kelam begini. Sungguh aku menjadi sangat haru dan jiwa tertunduk malu.

Rabu, 26 Disember 2012

RIHUL JANNAH YA BAGHIHA


“Rihul jannah ya baghiha”.

Angin syurga, angin syurga terbau dihidungku, wahai orang yang rindu akan DIA. Lantaran ingin akan rihul jannah itu , menghidu baunya yang wangi dari jauh, dari alam dunia ke alam barzakh, seleranya telah seakan-akan titik. Tidak dipandangnya ada duri, ada rotan dan ada rimba  dalam ranah  kematian. Seakan-akan pemburu lupa akan lurah dalam atau bukit yang tinggi lantaran mengejar binatang buruannya.

Demikianlah didikan iman pada hati seorang mukmin. Demikianlah lazat yang abadi yang kita tuju semuanya. Biar kita dihidupkan Tuhan hanya dengan sesuap petang asal kita ingat akan DIA, kita lupa itu, kita hanya terbau kepada narwastu dari jannatun Na’im, yang disediakan bagi orang muttaqin. Bukan lantaran jannah sahaja, sebab itu pun makhluk, tetapi lantaran di sana kita akan merasai lazat besar iaitu kelazatan keredaan Allah subhanahu wa ta’ala.

PROF. DR. HJ. ABDUL  MALIK  KARIM  AMRULLAH

MENCAPAI IMAN

PEDOMAN MENURUTI JALAN BUDI

Bukan mudah mendaki gunung yang tinggi, lurah yang dalam, penat kaki payah badan dan sesak nafas. Akan tetapi apabila seorang pemburu menjejak rusa, dia lupa itu, dia lupa payah, lupa haus dan lupa dalamnya tubir dan tingginya bukit.

Begitulah kita menempuh iman ini. Di manakah letak lazatnya? Ia adalah pada perjuangan itu, pada kepayahan mencari dan mencapainya, akhirnya adalah kelazatan yang ada di dalam jiwa sendiri sebab telah dapat apa yang dicari itu.

Ingat akan Allah bertakhta dalam hati kita, tunduk kepada-Nya menjadikan kita tenteram. Cubaan dan dugaan umpamakan laksana teguran , kekayaan kita pandang sebagai pinjaman, kubur kita pandang sebagai perhentian hidup dunia akan menempuh hidup kekal di sampingnya.


PROF. DR. HJ. ABDUL MALIK KARIM AMRULLAH

KECUNDANG PADA YANG KECIL-KECIL

PEDOMAN MENURUTI JALAN BUDI

Gajah kerap kali mati digigit semut selimbada. Ular kerap kali mati disengat kala. Yang menjatuhkan istana Ratu Balqis adalah burung hud-hud. Yang menyebabkan tebat besar Sadd Ma’rib di negeri Yaman menjadi tiris adalah tikus kecil-kecil dan dia juga yang membawa penyakit . Kuman batuk kering sangatlah halusnya. Orang yang mati dibunuh nyamuk malaria lebih banyak daripada yang mati diterkam singa. Maka jangan diringankan bahaya yang kecil kerana daripada bahaya yang kecil orang kerapkali mendapat kekalahan.


PROF. DR. HJ. ABDUL MALIK KARIM AMRULLAH

Isnin, 24 Disember 2012

ACILUT , AT ,AT ... (KATAK OH KATAK)

ACILUT , AT , AT ...  (KATAK OH KATAK)
 

                    Hidup ini ternyata berebut-rebut dan berkejar-kejar. Ketika pelupuk mata baru dikatup rapat, dan dalam otak ini mula dihayun mimpi, jam loceng sudah berteriak. Bunyi jam loceng itu kalau diterjemahkan akan bermaksud begini,

             “Ayuh, bangkit kamu! Dah subuh. Mandi, solat dan bersiap-siap ke pejabat. Masa tidak menunggu kamu."

                 Aduh! Itulah rutin harian aku dan kalian juga. Setiap pagi buta, mempersiapkan anak ke sekolah lalu aku dan isteri bergegas ke pejabat . Semua orang berkejar-kejarkan masa, berebut-rebutkan jalan raya, LRT, komuter dan segala pengangkutan yang berkaitan dengannya. Jika tidak, tentu akan terperangkap dalam kesesakan. 


                Bersesak-sesak dengan kereta dan bersesak-sesak dengan orang. Bersungutlah namun keadaan tidak pernah berubah. Semakin ditambah pengangkutan dan dilebarkan jalanraya, masalah tidak selesai-selesai juga. Maka aku dan kalian juga teruskan sahaja rutin berebut-rebut dan berkejar-kejar ini yang kadangkala ada keseronokannya juga.

         Setelah berbulan-bulan melalui rutin harian yang membosankan, tiba-tiba anak tunggalku menghidu keluarbiasaan.

                   “Abah. Dah lama tak nampak katak," ujar Aman, yang berusia sembilan tahun. 


              Aku tercengang. Lalu mataku merayap melihat sekelilingku. Baru pagi itu aku sedar, sudah lama juga tidak kelihatan kelibat katak . Kebiasaannya ,setiap pagi sebelum ke sekolah, Aman akan menghambat katak yang suka duduk di tepi rak kasut malah kadang-kadang katak itu akan duduk mengeram di dalam sepatu sekolahnya.

                “A’ah. Dah lama tak nampak,” balasku, mengiyakan kata-kata Aman.

                   Lalu aku menoleh, berkerut dahi menatap wajah Aman.
                 “Aman rindu katak?” tanyaku mengusik. 


            Aman tersenyum. Aku juga tersenyum. Senyuman kami bersatu menyingkap peristiwa lucu yang kemudian berbalam-balam bertandang ke dalam benak kami..
         

            “Abaaaaaaah!” Aman menjerit, membuatkan aku yang sedang menolong Tipah mengemas di ruang tamu terenjat.

              “Abaaaaaaaah!” jerit Aman sekali lagi. Dia berlari keluar dari bilik air dalam keadaan telanjang bulat. Melihat Aman begitu aku jadi cemas. Tipah yang sedang memasak di dapur juga bergegas ke ruang tamu.

                “Kenapa Aman?" Aku bertanya. Aman kupeluk kuat-kuat. Pucat lesi dan tercungap-cungap anakku Aman sehingga tergugup-gugup untuk berkata-kata.

                “Ad, ad, ada katak,” ujarnya ketakutan.


         “Hah, katak! Eeeeee...” Tipah pula turut menjerit geli-geleman lalu melompat ke atas sofa.

            Aduh! Ribut sekali rumah aku jadinya gara-gara seekor katak.

            “Katak terbang ya?” Aku bertanya dan Aman mengangguk. Aku terus menuju ke bilik air dan ternyata katak yang berkaki panjang itu sedang tenang melekap pada dinding bilik air. Segera aku tutup pintu bilik air untuk mengelakkan katak itu melompat keluar. Ketika aku hendak ke dapur mendapatkan penyapu , aku dapati Aman masih togel manakala Tipah melekat di sofa , tidak bergerak-gerak. Begitu sekali penangan katak. Aku ke bilik mengambil tuala lalu kuberikan kepada Aman.


                   “Tutup tu. Katak suka hinggap kat anu tu”


                    “Eeeee...” 

              Ah! Tipah pula yang menjerit geli-geleman tatkala aku berkata begitu. Geliang-geliutnya seperti orang yang sedang makan mangga muda yang paling masam. Memang bingit jeritannya, lebih bingit daripada jeritan Aman. Lalu aku senyum sinis dan hiasan kumis nipis di atas bibirku membuatkan senyumanku kelihatan benar-benar mengejek.            


             “Cepatlah abaaang...” perintah isteriku, ketakutan. Harakatnya mesti panjang kalau dia mengeluarkan perintah begitu. Dia kulihat lebih takut daripada Aman. Sebelum isteriku jadi histeria, baik aku mulakan episod kejar-mengejar dan hambat-menghambat.
              

               Aku melangkah masuk ke bilik air. Kehadiran aku telah menyebabkan katak spesis berkaki panjang ini terkejut, lalu bukan sahaja katak itu tidak tentu arah melompat-lompat, malah aku juga turut melompat-lompat. Ke kiri dan ke kanan kutepis dengan penyapu. Dalam keberanian aku , perasaan geli tetap juga ada terutamanya jika katak yang berkulit lembik itu menghinggapi tubuhku.
         

             Aku takut juga kalau tiba-tiba katak itu memancutkan air kencingnya kerana menurut kata orang, jika air kencingnya terkena pada mata, boleh menyebabkan buta.

                 Bagi aku, bukan buta yang menakutkan justeru kejayaan katak itu kencingkan aku sudah menjadi satu penghinaan bagiku. Yalah., aku manusia terhormat dikencingkan haiwan tidak berakal. Jadi aku mesti memastikan katak itu tidak memancutkan kencingnya walau semillimeter pun pada kulit tubuhku demi mempertahankan harga diriku.


                 Berkaki panjang yang membolehkannya melompat tinggi serta berkulit lembik merupakan perisai katak spesis ini manakala aku dengan penyapu ini pula sebagai perisaiku. Maka dalam gelanggang yang kecil ini, aku dan katak berkaki panjang beradu, siapa yang kuat dan siapa yang bijak.                 

                      Aku tidak menafikan kehebatan katak ini melompat begitu tinggi. Namun untuk menundukkan kehebatannya , aku perlu menggunakan strategi tertentu dan mesti mengenali kekuatan dan kelemahannya. 

                 Lalu kuhayun-hayunkan penyapu untuk mengelak dia menguasai aku. Aku juga mesti memastikan dia jatuh ke lantai. Pada saat dia jatuh ke lantai, maka aku akan memulakan strategiku . Aku tekan tubuhnya dengan penyapu sehingga dia tidak boleh mengepakkan kakinya.

              Biarpun katak itu tidak berakal , namun dia menggunakan juga kebijaksanaannya untuk menunjukkan kehebatan diri. Dia terus mendiamkan diri dengan menundukkan kepalanya bagaikan sudah tewas. Lalu tatkala aku mengheretnya dengan penyapu, dia menggunakan kelebihan badannya yang lembik dengan meleperkan badannya lalu merangkak memboloskan diri dari celahan penyapu. 


               Apa lagi, dengan kelebihan berkaki panjang dia terus melompat dengan lompatan paling bertenaga, lalu hinggap di penjuru tingkap bilik air . Sebelum membuat lompatan terakhir, dia sempat menegakkan kepalanya lalu berpaling kepadaku.

            Sungguh aku dicabar dengan tingkah sinisnya, lalu kuhayunkan penyapu padanya. Namun dia lebih pantas bertindak dengan melompat keluar melalui tingkap bilik air yang ternganga.

           Walaupun aku sepatutnya lega dia telah keluar dari rumahku namun aku rasa tercabar juga. Mengapa tidak? Ternyata tipu muslihat katak itu mengatasi strategi aku.

            “Kenapa tersenyum-senyum ni?,” Tipah menegur, berkerut dahi. Teguran Tipah mengejutkan aku dan Aman daripada lamunan kejar-mengejar dan hambat-menghambat itu .

          “Cepat. Nanti LRT sesak!” Tipah memperingatkan. Kata-kata isteriku membuatkan aku teringat episod berebut-rebut dan berkejar-kejar sebenarnya belum berakhir dan tidak akan pernah berakhir.

           Setelah Aman menaiki bas sekolah yang sudah beberapa kali membunyikan honnya, aku dan Tipah bergegas menaiki kereta untuk ke stesyen LRT.

            Sepanjang perjalanan itu , aku tidak henti-henti tersenyum, mengingati peristiwa kejar-mengejar dan hambat-menghambat itu. Apatah lagi ketika kami sudah berada di dalam LRT, memandang Tipah membuatkan senyumanku semakin lebar menirus. Dengan kumis di atas bibirku, dan senyuman yang merapatkan bibir , membuatkan Tipah berkerut-kerut dahi, memikirkan apakah yang sebenarnya terlonggok dalam fikiranku.

             Sekali lagi fikiranku hanyut. Peristiwa satu malam di dalam kamar tidurku menggeletek perasaanku.

           “Kenapa Tipah?” tanyaku sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam bilik tidurku yang hanya diterangi lampu malap. Di atas katil, Tipah duduk berkerut-kerut dahi sambil mengibas-ngibas selimutnya. Dia kelihatan cemas. Dan tiba-tiba...

          “Abaaaaaang!” Tipah menjerit. Dia melompat tetapi kakinya tersangkut lalu tergolek di atas lantai . Tubuhnya terbelit oleh selimut menyebabkan jeritannya semakin melengking. Aku cemas. Aku cuba menarik Tipah keluar dari dalam selimut.

              “Kenapa ni, kenapa?” Aku bertanya mencari punca tetapi pertanyaanku berjawab. Tiba-tiba ada sesuatu melekap di tengkokku. Bulu romaku merinding. Dengan cahaya bilik yang malap-malap romantik begitu, aku meraba-raba tengkokku. 
Lembik!


              Apa lagi, aku tepis makhluk asing itu tetapi gagal. Dia betul-betul melekap pada tengkokku. Dalam kegelian kupaksakan diri mencengkam kuat makhluk lembik ini lalu cepat-cepat aku baling ke dinding sehingga dia berdesit-desit melontarkan suaranya. Mungkin dia kesakitan kerana aku menariknya dengan kuat sehingga mengeluarkan suara halus yang lebih tinggi berbanding jeritan Tipah.

             “Abaaaang...” Tipah pula, bergantian menjerit. Dia terkial-kial menarik selimut yang membungkus tubuhnya. Aku , yang tadinya cemas tiba-tiba terkaku sebentar kerana kegelian dan juga kerana berasakan diri seolah-olah menjadi juri dalam satu akademi muzik, mencari juara suara soprano yang paling handal.
     

      “Abaaaaang...” semakin melengking suara Tipah membuatkan aku tersentak. Ah! Tipah masih tergolek di atas lantai, terbungkus dalam selimutnya sendiri.
 

                    Segera aku tekan suis lampu, menjadikan ruang bilikku lebih terang. Tanpa berlengah aku membantu Tipah sebelum dia memekik-mekik lagi.

                  Sebaik sahaja terlepas daripada belitan selimut, Tipah terus memeluk aku. Pada masa yang sama makhluk asing yang sudah kukenal pasti gerangannya terus melompat-lompat tidak keruan di dalam bilik tidurku. Aku kira dia juga ketakutan. Sama ada ketakutan kerana telah menceroboh rumah orang atau mungkin ketakutan mendengar suara Tipah yang jerit melengking-lengking.

               Sungguh Tipah berterusan menjerit dan betul-betul pula di cuping telingaku. Bingit dan memeningkan. Leherku dibelit tangan Tipah, membuatkan aku hampir tidak bernyawa. Tenaga perempuannya dalam ketakutan mengatasi tenaga gergasi. Sambil berpaut padaku, dia menggeliang-geliut apatah lagi tatkala melihat katak melompat-lompat di atas ranjang kami.

           Tipah yang tadinya begitu kejap memelukku tiba-tiba berlari ke arah pintu sambil menjerit-jerit. Aku mengejarnya dari belakang. Kali ini aku pula yang memeluknya.

              Aku tahu Tipah mahu berlari keluar tetapi mujur sahaja aku teringat mentuaku yang datang bermalam di rumahku masih berada di ruang tamu menonton televisyen. Tak mungkin aku membiarkan isteriku, Latifah berlari-lari keluar dalam pakaian tidurnya yang nipis begitu.

                Lalu kuheret Tipah ke bilik air. Mulutnya kutekup dengan telapak tanganku agar dapat mengelakkan dia daripada menjerit-jerit. Sebaik sahaja aku dan Tipah sudah berada di dalam bilik air, aku tendang pintunya sehingga tertutup rapat. Tipah rimas mulutnya ditekup begitu namun dalam pada itu matanya liar, merayap-rayap melihat keliling bilik air itu. Aku pasti dia takut andainya katak itu turut berada di dalam bilik sekecil itu.


             Aku tenangkan Tipah yang wajahnya kulihat sudah semerah semarak api. Supaya dia lebih yakin, aku berikan tuala padanya yang memang tersangkut di bilik air. Aku menyuruhnya menutup celahan di bawah pintu bilik air dengan tuala apabila aku keluar nanti supaya katak itu tidak boleh merangkak masuk melaluinya.

                 Aku juga memesan Tipah supaya tidak mengunci pintu bilik air, bimbang nanti histerianya datang lagi lalu Tipah boleh jatuh pengsan, tak bangun-bangun. Aku mahu keluar membuat perhitungan dengan katak berkaki panjang itu yang telah kucar-kacirkan hidup keluargaku pada malam- malam begini.


               Sepantas itu, aku keluar dari bilik air meninggalkan Tipah seorang diri. Sepantas itu juga aku keluar dari bilik tidurku tanpa aku peduli di sudut mana si katak itu sedang mendarat.Ketika aku menyelinap keluar dari pintu bilik tidurku, aku tersentak. Kedua-dua mentuaku sudah berada di hadapan pintu bilikku, berwajah bengis.

            Ah, apa lagi! Dengan posisi aku berdiri setentang , aku seperti konduktor dalam satu okestra yang mengendalikan alunan suara mezzo soprano pula kali ini. Melenting-lenting marahnya , diselit pula khutbah kerukunan rumah tangga membuatkan rentak mezzo sopranonya meruncing tinggi. Mendengar Tipah menjerit-jerit, fikirnya sedang berlaku penderaan fizikal yang maha dahsyat.

             Mujur Aman keluar dari biliknya. Dia terpinga-pinga sambil menenyeh-nenyehkan mata. Mungkin dia baru sahaja hendak tidur.
  

          “Aman. Keroppi!” kataku, sambil menuding jari ke arah bilik. Aman memandang aku sambil tersenyum-senyum malas, tanda dia faham taufan yang sedang melanda di bilik aku. Aku mengenyitkan mata memohon bantuannya dan dia faham akan isyarat aku itu.


                    Ketika mentuaku sedang begitu berapi-api dengan lantunan suara mezzo sopranonya, Aman menarik kedua-dua mentuaku ke ruang tamu. Aku serahkan tugasan menerangkan duduk perkara sebenar kepada Aman manakala aku terus ke dapur mengambil penyapu dan plastik sampah. Ketika aku berpatah balik ke bilik, mentuaku yang tadinya marah melenting kini mengilai-ilai pula sambil beristighfar panjang.

                Aman kulihat menyerengehkan wajahnya. Dia sedikit pun tidak tersentuh oleh rasa geli hati datuk dan neneknya justeru sekadar melongo hampa , mungkin agak kecewa kerana tidurnya tergencat. Aku kasihan padanya namun keributan yang sedang melanda bukanlah atas kehendakku. 


                 Namun aku amat berterima kasih kepada Aman kerana telah menjalankan tugas yang aku berikan kepadanya. Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang sedang aku pikul.


                Episod kejar-mengejar dan hambat-menghambat bermula lagi. Beralatkan plastik sampah dan penyapu sebagai perisaiku, aku sudah bersiap- sedia untuk bertempur dengan haiwan spesis melompat ini. Pantas tetapi berhati-hati aku masuk ke bilik semula. Bagaikan tingkah seorang pencuri, mataku melayar ke seluruh bilik, tidak berkelip barang sepicing pun.                   

               Sunyi sepi seperti tidak berpenghuni meski pun beberapa minit yang lalu begitu ribut dengan suara-suara lengking. Dalam sepi itu, yang pasti, ada dua makhluk sedang berada dalam dunianya sendiri-sendiri. Si katak yang entah di mana sedang menyembunyikan diri dan Tipah yang aku andaikan sedang resah di dalam bilik air tentunya mengharapkan sketsa ini cepat-cepat berakhir. Barangkali juga dia sedang mengepakkan lengannya lalu memangkukkan kedua-dua telapak tangan, lebar-lebar , bermunajat mengalunkan doa pendinding. 

                 Aku harap telahan aku itu betul dan mengharapkan Tipah dalam keadaan sedar, tidak pengsan gara-gara terenjat kerana terlalu kuat menjerit, juga kerana kegelian yang melampau. Pada masa yang sama , aku mengharapkan Tipah duduk diam-diam di dalam bilik air, tidak histeria lagi supaya aku boleh memberikan tumpuan secara tuntas pada pertarungan yang bakal berlangsung.

                Kelibat katak tidak kelihatan tapi aku dengan yakin sekali katak itu masih berada di dalam bilik tidurku ini. Kali ini agak sukar sedikit kerana tingkap bilikku berlangsir dan tingkapnya pula terkatup rapat. Perabot bilik pula menjadi tempat strategik bagi si katak berlindung diri. Kali ini selain strategi, aku juga mesti menggunakan tipu muslihat. Menurut pakar pengatur strategi, strategi sahaja tidak cukup kalau tidak menggunakan tipu muslihat. Meski pun aku sebenarnya tidak suka dengan buah fikiran seperti itu, tetapi ternyata dalam gelanggang tertentu, tipu muslihat menjadi sangat penting terutamanya dalam usaha jerat-menjerat.


                Mataku merayau , mencari-cari di manakah agaknya gerangan si katak ini menyembunyikan diri. Bagaikan seorang mata-mata, aku tiba-tiba tersenyum sendirian. Sudah beristeri dan mempunyai seorang anak tetapi aku seolah-olah berbalik kepada alam kanak-kanakku. Acilut, main sembunyi-sembunyi kemudian berlagu-lagu,

                       
Acilut at at, acilut kucing lompat,                                         

                       Nestum nestat, Pak Ali tukang cat,
                       Bulu kucing Pak Ali jilat.

                   Aku tersengeh-sengeh ketika mengingati lagu ini. Lalu dalam situasi seperti aku ini, aku rasakan lagu acilut ini patut kugubah jadi begini,


                    Acilut at at, acilut katak lompat                  

                    Nestum  nestat , Pak Mamat kaki lompat
                    Jumpa katak aku rembat

                 Semakin lebar aku tersengeh dan semakin bersemangat pula aku mahu mencari si katak ini. Akan kurembat dia apabila aku nampak kelibatnya nanti.

             Terasa pula keseronokan bermain acilut dan kali ini dengan makhluk yang terkenal dengan kehebatannya melompat dan sekerabat pula dengan sesumpah kerana pandai meletakkan diri pada satu-satu tempat yang menyukarkan orang untuk mengesannya. Ini menjadikan permainan acilut di tengah-tengah malam begini mejadi satu permainan yang sangat mencabar bagiku.

              Aku kuiskan penyapu di celah-celah gerobok dan di belakang tabir. Terasa gementar juga. Manakan tidak, pada bila-bila masa tanpa aku sedari atau aku terleka seketika, dia boleh keluar melompat lalu hinggap pada tubuhku lalu melekat dan akan menyebabkan aku terpaksa menarik lalu melemparkannya ke dinding. Cukuplah sekali dia telah hinggap di tengkokku tadi. Cukuplah sekali itu.

               Jenuh aku mencari dan mataku sudah mula berasa tegang. Perasaan geram dalam diri sudah mula berderam-derum. Namun aku tetap tidak akan mengalah. Tidak mungkin aku berserah diri pada haiwan yang tidak berakal ini.

         Beberapa minit berlalu. Sungguh si katak ini menggeletakkan aku dalam teka-teki. Apakah dia masih di sini? Atau barangkali dia telah keluar melalui celahan-celahan lubang yang paling sempit yang aku sendiri tidak dapat melihat dengan mata kasarku ini. Dasar tabiat si katak, suka sekali membuat kejutan. Aku benar-benar dicabar dan mula naik radang. Lalu aku ketuk lantai dan dinding dengan penyapu berkali-kali dengan harapan dia akan keluar menyerah diri. Ketika hatiku sedang panas tiba-tiba aku tersentak.

                “Abaaaaang...” Bulu romaku merinding. Kali ini bukan kerana katak itu menghinggapi tubuhku malah suara melengking Tipah dari dalam bilik air benar-benar mengejutkan aku. Aku jadi bingung. Ketika aku sedang terenjat begitu, aku sempat berfikir. Tipah menjerit kerana terkejut aku mengetuk lantai dan dinding atau.......,

             “Oh, tidak!” Tanpa berlengah, aku memanjangkan langkah menuju ke bilik air. Tidak dapat aku gambarkan bagaimana Tipah akan tergeliang-geliut dipermain-mainkan si katak yang akan mempertontonkan aksi lompat-melompat di dalam bilik air yang sempit itu.

              Aku sendiri tidak rela sama sekali andainya katak itu menyentuh isteriku barang secuit pun pada kulitnya yang halus mulus. Isteriku maruahku dan harga diriku. Lalu semakin kuat aku menggenggam penyapu.
 

               Namun, belum sempat aku melangkah , tiba-tiba kepalaku dicengkam sesuatu. Ah! Si katak itu memperlihatkan diri, betul-betul di atas kepalaku , seolah-olah hendak memberitahu bahawa dia masih ada di dalam bilik tidurku ini dan bukan di bilik air seperti yang aku fikirkan. Aku cuba menepis namun pada saat yang sama terasa percikan air mengenai kepalaku.

                  Aaargh...biadap! Sungguh si Katak itu telah kencingkan aku. Meledak dadaku, berdegung-degung bagai antan menghentak lesung. Aku benar-benar rasa terhina . Entah dari mana dia muncul dan sedetik itu juga dia melompat lagi lalu menghilangkan diri. Sungguh aku amat marah sekali kerana dia telah menjatuhkan martabat aku.

           Mataku merayau mencari kelibatnya tetapi kemudian mataku tertumpu pada langsir yang berbunga-bunga kelabu. Warna kulitnya terlalu mirip dengan corak langsir itu sehingga sukar aku mengesannya.


                 “Dasar kerabat sesumpah!” Aku menggumam.

             Lalu aku hayunkan penyapu ke arahnya yang sedang bergayut di langsir yang beropol-ropol. Namun dengan tenaga luar biasanya, dia melompat tinggi membuatkan aku tidak keruan. Bulu romaku merinding setiap kali dia membuat lompatan yang sangat bertenaga. Sementara itu, aku pula tidak tentu arah menghayunkan penyapu ke kiri dan ke kanan. Tatkala aku membuat satu rembatan yang kencang ,tiba-tiba aku terdengar suara decitan yang langsing.

                  Aku pasti itu ialah suara dia meskipun pada masa yang sama Tipah masih tidak henti-henti menjerit dari dalam bilik air dengan suara ala sopranonya. Mataku galak mencari kelibat si katak yang aku pasti sudah tumbang akibat rembatanku tadi. Decitan langsing katak itu mungkin petanda dia terkena rembatan aku.

                Aku terus mencari-carinya. Aku kibas-kibas selimut. Aku selak-selak bantal. Aku teliti setiap penjuru lantai dan setiap dinding yang terbentang. 


                        'Oh! Di manakah gerangan si dia ini?'


              Marah, letih dan geram. Bajuku sudah lencun dengan peluh dan kepalaku sudah berbau hancing. Aku tidak tahu bilakah permainan acilut ini akan berakhir. Jeritan Tipah dari dalam bilik air yang menyeru-nyeru aku sudah cukup memeningkan kepala. Aku sekadar berharap agar Tipah tidak jatuh pengsan akibat kegeliannya yang melampau. Aku benar-benar letih.

                   Pada ketika aku sudah mula berputus asa, tiba-tiba aku terdengar bunyi decitan lagi dan tiba-tiba tanganku ditampan. Ah! Si katak itu tiba-tiba melompat ke arahku. Aku terkejut tetapi kali ini aku mesti bertindak pantas. Ya, bertindak pantas dan bijak. Aku mesti mendahuluinya sebelum dia mendahului aku. Aku mesti menggunakan strategiku. Aku mesti tundukkannya. Aku mesti kembalikan maruahku setelah aku dikencingkan semudah itu.

                   Permainan acilut masih berterusan. Bergolek-golek bebola mataku mencari kelibat si katak ini. Ah! Rupa-rupanya dia sedang dengan senang hati mendarat di almari hias , bertenggek di atas bedak kompak Tipah sambil terteleng-teleng. Mungkin dia juga mahu melihat diri dalam cermin. Lalu perlahan-lahan aku menghampirinya. Pada masa yang sama aku semaikan ingatan dalam benakku. Pantas dan bijak disertai kekunci strategiku, jika aku mahu berjaya menundukkannya. Berulang kali aku mengingatkan diri tatkala aku melihat si katak begitu leka menghadap cermin hias.

                 Katak itu terkejut ketika aku menghampirinya. Pada saat dia cuba melompat, aku rembat dengan pantas ke arahnya. Dia jatuh semula ke atas almari hias. Lalu dengan cepat aku tekan tubuhnya yang kurus dan panjang dengan penyapu lalu aku jatuhkannya ke atas lantai.

           Ah! Aku meneruskan strategiku dengan terus menghimpitnya dengan penyapu lalu membuatkannya duduk diam-diam. Ketika itu kakinya yang menjadi perisai kini terlipat mati. Sungguh dia tertunduk bagaikan sudah tewas.

              Namun aku masih belum boleh berpuas hati kerana si katak ini memang panjang akalnya. Tidak semena-mena, dia boleh memboloskan diri pada bila-bila masa. Namun kali ini aku akan menunjukkan siapa yang lebih hebat menggunakan tipu muslihat.

          Telahan aku benar. Dalam diam katak itu cuba memboloskan diri dari celahan penyapu yang menghimpit tubuhnya dengan cara merangkak-rangkak. Namum aku sudah bersiap-sedia mengepung keliling penyapu itu dengan plastik sampah. Apa lagi, ketika dia hendak membuat lompatan paling bertenaga, dia telah melompat masuk ke dalam perangkap aku, iaitu plastik sampah.

              Fuhh! Ternyata jerat aku mengena dan strategi aku menjadi.

                Sungguh katak itu, separuh gila melompat-lompat di dalam plastik sampah yang kujinjing. Aku kasihan juga padanya. Sudahlah kehilangan habitatnya sendiri lalu dihalau pula ketika menceroboh ke rumah tangga orang. Aku kemudian menuju ke bilik air untuk memberitahu Tipah akan kejayaanku menundukkan si katak itu.

                  Namun pada saat aku membuka pintu bilik air yang tidak berkunci, dengan serta-merta Tipah meluru ke arahku. Dia kelihatan ketakutan dan mahu memeluk aku. Namun belum sempat dia berbuat begitu, aku tunjukkan plastik yang kujinjing sambil mengujar,

                  “Katak!”

              Aku ingin memberitahunya bahawa aku telah berjaya menangkap makhluk yang sangat ditakutinya. Namun sebaliknya dia menjerit melengking-lengking, tergeliang-geliut sambil melompat-lompat tatkala aku memberitahunya begitu. 


                 Cepat-cepat aku keluar dari bilik tidurku bersama-sama si katak yang kini  menjadi tawananku, sambil berdoa agar Tipah meredakan perasaannya sendiri setelah beberapa ketika dia tersiksa oleh rasa geli tahap melampau.

              “ Abah nak buat apa dengan katak tu?" Tanya Aman ketika aku keluar dari bilik dan melintasi ruang tamu. Mentuaku yang turut berada di situ mengulum senyum tersipu-sipu, mungkin malu dengan suara mezzo sopranonya yang agak sumbang bunyinya.

               “Makhluk yang suka lompat-lompat begini, elok kita jampi jadikan keroppi. Supaya dia duduk diam-diam, tak lompat-lompat lagi. Bolehlah Aman manja-manjakan dia,” kataku kepada Aman dalam lelah.


              Aku tersenyum-kulum tatkala berkomentar begitu. Dengan kumisku yang nipis membuatkan senyumanku bernuansa sarkastik. Di halaman rumah , katak itu aku lepaskan ke alamnya. Dia kulihat terbingung-bingung melompat dengan lompatan yang lemah. Barangkali dia  seperti aku, sudah letih bermain acilut atau barangkali dia sudah ditimpa bingung alang, tidak dapat melakukan sesuatu dengan betul.

              “Keroppi eh...” aku melatah sebaik sahaja Tipah mencubit aku. Baru aku sedar kami sudah sampai. Mujur sahaja bukan perkataan katak yang terlantun dari mulutku. Jika tidak , akan lebih panjang harakat soprano si Tipah. Sungguh dia trauma dengan makhluk spesis melompat ini.




Ahad, 23 Disember 2012

AKU SEBATANG PENSEL

AKU SEBATANG PENSEL



Aku adalah sebatang pensel
yang tidak akan mampu berdiri
untuk melorekkan garisan-garisan indah
melainkan tuanku mengapuk aku
memandu dan mendorongku
mengikut kemahuannya
mengikut kehendaknya

Aku adalah sebatang pensel
yang apabila mulai tumpul
aku akan diraut dan diraut
meskipun aku merintih sakit
namun tuanku tetap terus meraut
kerana dia mahukan aku
menjadi tajam semula

Aku adalah sebatang pensel
yang kadangkala begitu leka melorek
lalu aku tergelincir
maka terhasillah goresan-goresan jelek
namun tuanku sekadar berkata.
"Tidak mengapa. Goresan jelek itu masih bisa dipadam"

Lalu aku dikapuk kemas lagi
aku dipandu dan didorong lagi
supaya aku tidak tergelincir lagi.

Aku adalah sebatang pensel
meskipun aku cantik diluar
dihias pelbagai warna
dihias pelbagai rupa
namun nilai sebenar diriku
adalah kekebalan yang terkandung di dalamnya
yang akan melahirkan
goresan dan lorekan yang indah

Aku adalah sebatang pensel
yang akan meninggalkan goresan
yang akan meninggalkan lorekan
pada sehelai kertas putih bersih

andaikata aku lorekkan dengan indah
maka indahlah kertas putih itu
andaikata aku lorekkan dengan jelek
maka jeleklah kertas putih itu.

Maka aku sebatang pensel
harus sedar dan berhati-hati
terhadap semua gerak-lakuku
Kerana setiap lorekan itu
adalah gambaran tindak-tandukku



sh. umamah sy. abdullah  al-edrus
18hb. Jun 2010

Ilham daripada catatan "Belajar Daripada Sebatang Pensel"


MENANTI WAKTU PULANG

MENANTI WAKTU PULANG


Anak-anak muridku
begitu leka bermain jari
menghitung, mengira dan membilang
sambil berlagu-lagu
menanti waktu pulang
kerana di rumah ada hidangan

Anak-anak bumi Palestin
termangu-mangu
melihat peluru berpandu
melebur rumah satu persatu
mereka sudah letih membilang
juga letih untuk pulang
kerana yang ada di bawah runtuhan
adalah tulang-tulang berserakan
dan darah-darah berpercikan

lalu di atas runtuhan
anak-anak bumi Palestin
terus termangu-mangu
mencari pengertian
hak dan kebebasan

sh. umamah sy. abdullah al-edrus
1hb Jun 2010

Gombak, K. Lumpur

USAH KITA MENANGIS

USAH KITA MENANGIS


Usah kita menangis
Tatkala mendaki ke puncak
Kerana di sebalik puncak pendakian
Telah menunggu daerah menurun
Lalu jagalah kaki
Supaya nanti tidak tergelincir

Usah kita tertawa
Kala waktu menurun
Kerana kita akan menempuh
Pendakian yang lebih tinggi
Yang akan menggoyahkan lutut

Kelak akhirnya
Akan berhenti pendakian dan penurunan itu
Di satu padang yang luas terbentang
Bernama MAUT.

Sajak ini digubah bersumberkan kata-kata pujangga HAMKA dalam bukunya
Merantau Ke Deli. Semoga Allah subhanaLlahu wa ta'ala melimpahkan Rahmat ke atas rohnya.


sh. umamah sy. abdullah al-edrus
10 HB OGOS 2010
Gombak, K. Lumpur.

GELANDANGAN


GELANDANGAN


Bertilamkan tanah
Beratapkan langit
Berselimutkan embun
Bermandikan hujan



Pakaiannya rabak kusam
Makanannya di tong-tong sampah
Bersama anjing, tikus dan lipas
Mengais sisa-sisa remeh yang dibuang
Di lorong belakang KFC, McD dan NZ Curry House
Buat mengisi tuntutan perutnya
Meski kenyang lapar tak hilang
Minum sejuk haus tak lepas
Namun dia bagaikan puas


Hidupnya menyusur jalan
Lalu langkahnya terhenti di persimpangan
Dia akan berdiri di situ
Buntu, beku dan keliru
Memilih jalan yang hendak dituju


sh. umamah sy. abdullah al-edrus
17hb Oct 2010.
Gombak, K.Lumpur.

Khamis, 6 Disember 2012

KISAH SEBATANG SUNGAI

KISAH SEBATANG SUNGAI



Kisah sebatang sungai, airnya mengalir kencang tatkala berada di udik, Berkejar-kejar menuruni tebing tinggi, tanpa rasa gentar. Berpusar dalam keluk jeram yang dalam lalu berkejar lagi. Biarpun diri menghempas  batu-batu besar yang kadang-kadang  seperti sengaja duduk di tengah-tengah laluan sungai. Ah! Batu itu seperti mahu mengingatkan,  “Hati-hati kawan , jangan lupa diri”.

Akan tetapi air sungai itu tidak peduli. Semangatnya sungguh berapi-api. Mahu terus berkejar dan berkejar  supaya cepat sampai ke kuala dengan mengangkut sebanyak mungkin khazanah sungai  bersama-samanya.  

Namun semakin jauh perjalanan, semakin berliku-liku pula laluannya. Perjalanan juga sudah semakin melandai dan mendatar. Lalu dia menjadi letih. Semuanya jadi perlahan dan lembab.  Namun semangat masih belum mati. Dia akan tetap teruskan perjalanan. Dia mesti terus berkejar dan mengejar. Hasrat dan cita-citanya mesti dicapai . Dia mesti sampai ke kuala dengan mengangkut sebanyak mungkin khazanah sungai.


Namun apabila sampai di kuala, barulah dilihat pada diri. Barulah diamat-amati khazanah yang diangkut sepanjang perjalanannya. Dan barulah dia hendak mencermin diri. Ah! Alangkah terkejutnya dia. Baru sekian kalinya dia sedar.  Dia bukan lagi air sungai tatkala di udik yang jernih lagi hening-bening  melainkan diri telah bersebati malah larut dengan lumpur dan selut. Yang diangkut itu juga berupa beban yang penuh dengan sampah sarap. Tidak mungkin untuk berpatah balik , memperbetul dan menjernihkan diri melainkan bersedialah terhumban ke dalam laut yang akan melambung-lambungkan diri dalam badai yang lebih mengganas. SubhanLlah..... Semoga hambamu ini sentiasa bermuhasabah dan berada lurus di atas jalan-Nya.


Sabtu, 1 Disember 2012

sajak : SAMPAH DAN SESUAP NASI


SAMPAH DAN SESUAP NASI



seekor gagak
hinggap di tong sampah
hadapan rumahku
selongkar makanan basi

yang kubuang malam tadi
merupakan rezeki yang dihajati

seorang lelaki
berwajah gelap dan lesi
singgah di hadapan rumahku

selongkar sampah
yang kubuang malam tadi
mencari kertas, botol, tin dan batang besi
untuk dijual nanti
dengan harga beberapa sen cuma

setiap kali
aku campak sampah ini
adalah sumber rezeki
sang gagak dan si lelaki
yang hidupnya hanya
mencari sesuap nasi

angin,
sampaikan pertanyaanku ini

kepada pak menteri
'Nasib apakah yang menimpa
bangsaku ini?'


sh.umamah sy. abdullah al-edrus
18hb Julai 2010.

Gombak, K.Lumpur

Khamis, 29 November 2012

sajak : PENYU BERTASBIH DI RANTAU ABANG


PENYU BERTASBIH DI RANTAU ABANG


Bergeluk sang penyu
dalam samudera dalam
berdendang pilu
berlagu silu
getar olak air melesu
dalam air berkelodak laut
dingin laut meremai sulbi

duhai sang penyu,
dengarkan.........!

Usah sengkela pada sepi
memasung diri pada sendu

ayuh!
keluar dari lubuk matimu
julurkan jemala , kepakkan tungkai
tegakkan tempurung perisai keramat

dayung........,
ayuh berdayung!
dayung, 

oh meredah ombak
dayung-dayung meredah badai
gempur,
ayuh gempur!
amuk-amuk gelora laut

sampai.........,
pastikan sampai!
muka laut mesti digapai
hulurkan jemala menyiuk udara
kepakkan tungkai
ayuh berdayung

redah,
redah ombak
redah,
redah badai
susur,
susur pastikan sampai
sampai
sampai ke tepi pantai

ombak,
mendesau-desau indah
angin,
menderu bersiul-siulan
awan,
berarak kawan berkawan
bianglala
seringai cantik menawan


merangkak-rangkak penyu menangis

melepas rindu  di pesisir pantai 
berteman ombak
bertaulan angin
berkelam langit
bersepi malam

hangat pasir Rantau Abang

sehangat cinta penyu bersemi 
beriring-iring  air mata
titis menits tumpah ke bumi

membutir zuriat zaman berzaman
di pesisir pantai penyu bertasbih


sh. umamah al-edrus
25 mei 2010
Kg. Changkat, Gombak.

SERAPUH HATI QABIL

Serapuh Hati Qabil




Menelusuri kisah Habil dan Qabil dalam surah al-Maidah ayat  27-31 benar-benar menghantuk fikiran saya. Kisah yang bukan sahaja memaparkan urutan cerita bahkan mengungkap persoalan yang tersirat tentang hubungan kita dengan Allah Ta’ala dan hubungan kita sesama manusia.


Begitu degil si Qabil. Menurut peraturan, dia sepatutnya berkahwin dengan kembar Habil. Tapi dia tak mahu kerana kembar dia lebih cantik. Begitu ya, perempuan cantik , atau apa-apa sahaja yang cantik pasti menjadi pancingan. Meskipun dilarang, Qabil tetap mahukan kembarnya yang cantik.

Lalu diperintahkan pula supaya Habil dan Qabil membuat korban. Korban Habil diterima manakala korban Qabil ditolak. Punca korban Qabil tidak diterima kerana dia tidak ikhlas. Korbannya adalah hasil tanaman yang sepatutnya dibangkul-sampahkan sahaja.



Ada beza tak dengan kita cucu-cicit Nabi Adam?. Kita  mahunya macam-macam. Mahu yang cantik. mahu jadi kaya, dan serba-serbi mahu yang terbaik sahaja. Kalau dah beri  cantik, nak jadi cantik selama-lamanya. Sudah terlupa agaknya, satu hari akan reput  dan akan jadi tanah semula.Dah kaya pun , masih berebut-rebut nak jadi  paling kaya antara yang dah kaya. Tak teringat agaknya nanti yang dibawa hanya kain putih belaka. Tapi katanya, harta itu tak sia-sia  juga dicari kerana boleh diagih-agihkan pada anak-anak nanti.


Tapi owh!....terlupa pula hendak mendidik anak-anak jadi seperti Habil. Ya. Habil yang sentiasa takut pada azab Allah Ta`ala. Sebaliknya anak-anak yang tinggal itu hatinya macam Qabil belaka. Meskipun sudah dibahagikan sama rata dan ikut peraturan, tapi tetap tidak puas hati. ,tetap saja dengki dan iri hati. Lalu terbiar si ayah yang kaya , terkejip-kejip di atas katil, memerhati dan mendengar tingkah-meningkah antara si anak-anak. Dia sendiri sudah tidak berupaya, diserang strok akibat makanan yang serba kaya juga.

Itulah hakikatnya. Kita mahu macam-macam tetapi apabila  Allah Ta’ala minta kita ikut perintah-Nya, taat akan suruhan-Nya, samada kita berontak tidak mahu ikut atau kita buat-buat tidak tahu dan buat-buat tidak dengar. Telinganya ada  tetapi tidak dengar-dengar juga.  Susah sangat nak dirikan solat, payah pula nak tutup aurat, kedekut pula apabila disuruh bersedekah. Sungguh kurang sopan kita ini dan sungguh kita tidak malu. Sama tidak malu dengan Qabil.

sajak : SEPI SANG PENYU

SEPI SANG PENYU

sepi
sepi sang penyu
teroleng-oleng sendirian
melayar rindu
dalam laut dalam
janggawari


alunan ombak Purus
bermelankoli
merawan hati lara


sepi 
sepi sang penyu

dalam kelam air asin
dalam olak air melayuh
dalam dingin air mengerip
hampir lempur
lara 

sepi
sepi sang penyu
dalam laut dalam 
janggawari
teroleng-oleng sendirian
memendam rasa
memendam rindu
memendam pilu


sepi 

sepi sang penyu
hanya DIA YANG MAHA TAHU.


sh. umamah sy. abdullah al-edrus
10hb April 2010
Gombak, K.Lumpur.

Rabu, 28 November 2012

sajak : SENANDUNG SYAFAQ



senandung syafaq





berdiri pilu di kaki langit itu
                                  adalah aku
segaris ufuk
antara nur dan zulmat

melihat engkau ,
nur...........
meredup
dalam kegundahan
meniti  merangkak-rangkak
malas dan  longlai
ditelan kesetian detik waktu
tidak peduli, berlalu
dan berlalu..............................!

di sini
aku berdiri sendu
dalam hangat yang kian mereda
larut bersama kelam cahaya memudar
tenggelam dan tenggelam
lemas dan tidak bernafas
hanyut
disedut arus waktu
gitu ngilu, berlalu
dan berlalu................................!

aku berdiri
di sempadan waktu
pilu,
sendu
   bersenandung haru
mengetuk pintu zulmat
melangkah lemah dalam sedar
tiada upaya kumenentang
fitratulLah yang sudah terbentang

kelak nanti
semuanya kian lumat
punah bersama aku, nur dan zulmat
dan masa mulai letih
waktu pun berhenti mendetik

sh. umamah sy. abdullah al-edrus
29 NOV 2012

HANYUT di LAMAN ILMU DAN BUDI

HANYUT di LAMAN ILMU DAN BUDI


Saya suka beriadah di sini, seorang diri berlari-lari dalam langkah yang serasi dengan usia. APada pagi embun masih berbutir-butir di atas daunan hijau, semerbak pelbagai bauan daripada pelbagai jenis tumbuhan hijau sangat menakjubkan. Begitu pun wangian cempaka putih yang sangat memabukkan rasa , aduh, sungguh saya digoda haruman yang mengasyikkan.



Bangau-bangau yang lapar agaknya, menyudu-nyudu mencari mangsa tidak peduli kehadiran saya.Decah-decuh alunan sungai yang tidak pernah berhenti mengalir bagaikan satu simfoni merdu bersenandung mendamaikan alam dan decip-decit beburung teradun dalam satu melodi yang semulajadi rentaknya sungguh menggetarkan jiwa. Mengepakkan sayapnya mempertonton aksi hebat terbang ke sana ke mari seperti mencabar dan berkata-kata, "Ayuh! Kembangkan kepak, terbang bersama-sama kami".







Berbaring di atas rerumput yang basah sebagai aktiviti meregangkan badan membenarkan mata ini melihat langit biru yang luas terbentang diapungi kelompok-kelompok awan putih.Tidak ada satu ruang daripada pandangan dan penglihatan saya yang terlepas daripada menghayati karya Maha Agung ini.


Hanyut dan larut dalam keindahan menakjubkan dan memabukkan rasa, saya memejamkan mata.......memikir-mikir dan membayang-bayangi bagaimanakah kelak seandainya aku menjadi penghuni syurga...Subhanallah! Sesungguhnya mati itu pasti dan Dia tidak pernah memungkiri janji,......................!

Ahad, 25 November 2012

BANGAU


LARUT BERSAMA BILAL BIN RABAH

LARUT BERSAMA BILAL BIN RABAH



Membayangi diri, berada di kota Mekah pada masa silam, lebih 1400 Hijrah membuatkan jiwa haru dan amat sebak. Saya begitu larut dengan kisah silam itu sehingga tidak dapat menahan air mata daripada mengalir , tetapi mujur saja saya di duduk di barisan atas dan belakang dewan dengan lampu dimalapkan, membolehkan saya menyembunyikan wajah yang sudah basah dengan air mata .


Suara lantang Sheikh Yawar Baig , melantun-lantun pada segenap ruang dewan CAC, UIAM, mengisah kembali seorang hamba abdi yang bukan sekadar dihinakan bahkan disiksa dengan siksaan yang tidak akan tertanggung oleh manusia biasa..Bilal , itulah nama yang dihinakan ketika itu namun nama itu kini sentiasa basah dibibir kaum Muslimin setiap kali laungan azan diserukan.



Namun apakah Bilal bin Rabah akan berbangga apabila dianggap wira kerana penghormatan yang diberikan Rasulullah Sallallahu ’alaihi wassalam untuk melaungkan seruan azan buat kali pertama di Kota Mekah sehingga namanya disebut-sebut hari ini? Sungguh, bukan itu yang akan menjadi memori indah dalam hidupnya .



Kemuncak kemenangan dalam dirinya adalah tatkala beliau berjaya mencabar keegoaan tuannya Umayyah bin Khalaf. Biar berulangkali Umayyah Ibn Khalaf memaksa Bilal mengakui Latta dan Uzza sebagai tuhan, namun Bilal terus mencetuskan kemarahan dan sekaligus mengajar Umayyah bahawa yang berhak disembah adalah Allah Yang Satu. Dipukul. dipalu, diheret dan dijemur di tengah panas padang pasir sekalipun, namun beliau tidak akan berganjak bahawa yang berhak disembah adalah Allah Yang Satu.

Itulah kemuncak kemenangan dan detik paling manis dalam sirah hidupnya yang meletakkan diri daripada seorang hamba yang dihinakan oleh manusia kepada jiwa yang dimuliakan disisi Allah Subahanahu Wata’alla. Sehingga selepas kewafatan Rasullullah sallalLahu alayhi wa alihi wassalam, Bilal tidak berdaya untuk mengalunkan seruan azan kerana beliau akan menangis teresak-esak apabila menyebut “Ash hadu anna Muhammad Rasullullah”. Begitulah kasihnya yang sangat mendalam  terhadap kekasihnya  Rasullullah sallaLlahu alayhi wa alihi wasallam.

Lalu saya melihat ke dalam diri, sejauh manakah kasih saya terhadap Rasullullah Sallalllahu alaihi wassalam, yang telah mengharungi jerih payah menanam aqidah ke dalam hati ini agar menundukkan keegoaan diri pada Allah Yang Satu. Saya juga bertanya , apakah detik kemenangan dan kemanisan yang akan saya pateri dalam sejarah hidup selama masih bernafas di bumi untuk membolehkan diri ke syurga? Semakin saya larut dan hadam dalam kisah silam yang begitu merentap jiwa dan fikiran , semakin saya tidak mampu menahan air mata hangat daripada mengalir. Sungguh, saya terpaksa berhenti di sini.

CERMIN

CERMIN
               
                    Sejak kecil kita telah pun melihat cermin. Melihat diri secara tersurat. Andai cermin itu boleh merakam, tentu beribu-ribu rakaman telah dibuat . Merakam wajah setiap kali dan setiap hari kita menghadap cermin.Apabila dipantulkan rakaman itu, fasa-fasa perubahan pada diri pasti terlihat. Persis perubahan fasa pada bulan, berperingkat-peringkat dari anak bulan kemudian mengembang menjadi bulan purnama. Bedanya bulan berbalik semula kepada anak bulan sedang kita tidak akan kembali kepada fasa anak bulan, justeru lebur menjadi tanah dan debu.


               Melihat diri dalam cermin, merapi kehodohan yang ada pada diri supaya diri tidak hodoh lagi. Merawat cacat-cela agar tidak cacat lagi. Yang selekeh diperkemaskan, kulit yang kendur diketat-ketatkan. 


Sungguh cermin tidak berbohong. Dari dalam cermin akan memperlihatkan keindahan, dari dalam cermin akan memperlihat kehodohan.Dari dalam cermin juga memperlihat diri.....diri yang tidak akan kekal abadi. Semakin usia meniti-niti , menjejaki detik-detik masa, semakin takut pula hendak menghadap cermin. Tuan Sutung Umar RS bertanya, berapa kali kita menghadap cermin? Tidak pasti. Namun yang pasti kita semakin kurang melihat cermin apabila keindahan diri perlahan-perlahan tanggal satu persatu. 



Hanya yang mengenal hakikat diri, akan melihat cermin berulang kali,mencari-cari kelemahan diri untuk sentiasa diperbaik kerana dari dalam cermin, dia sebenarnya tidak melihat dirinya justeru yang dilihat adalah kehebatan yang menciptakan dirinya daripada tanah/nutfah lalu membentuk manusia sempurna lalu dikembalikan semula menjadi tanah. Subhana-Allah.......tuan Sutung, saya tidak mampu lagi untuk meneruskan kata-kata ini dan terima kasih mencetuskan kesedaran ini. 


sh. umamah sy. abdullah al-edrus
11 November 2012

















KACA YANG HANCUR BERDERAI

USAH TANGISI KACA YANG PECAH BERDERAI
Sahabat. Usah ditangisi pada kaca yang telah pecah. Kutiplah kesemua serpihan kaca dengan kesabaran dan kebijaksanaan tanpa terluka dan melukakan. Setelah itu mengapa harus berputus asa? Apakah kerana kita fikir kaca yang telah pecah tidak dapat ditautkan kembali?Sememangnya tidak mudah mempertaut kembali serpihan kaca yang sudah berderai. Namun itu tidak mengapa. Kita pasti akan mendapat kembali kaca yang indah, kukuh dan lebih tinggi mutunya.Hanya sahaja kita perlukan kecekalan, keyakinan, kesabaran dan kebijaksanaan.Ayuh sahabat!. Cairkan serpihan kaca itu dengan bahan pengikatnya, lalu hangatkan sehingga kita dapat membentuk kaca itu semula dalam bentuk yang lebih indah dan kukuh. Setelah sejuk, kita akan dapat semula kaca yang lebih tinggi mutunya Letakkanlah di atas telapak tangan , lalu genggamlah dengan seerat-eratnya agar kisah sedih kaca jatuh berderai tidak berulang lagi.Berkat kecekalan , keyakinan , kesabaran dan kebijaksanaan , tidak ada sesiapa yang akan terluka atau menjadi luka akibat sepihan kaca yang jatuh berderai justeru kita berjaya mengutip kembali kesemuanya lalu mempertaut kaca itu pada bentuk yang lebih kukuh dan indah.Kebahagian itu sahabat, terasa lemak manisnya dan terasa besar nikmatnya seandainya kita berjaya menongkah segala rintangan dan kepayahan dengan hati yang ikhlas dan keimanan yang tinggi. Sesungguhnya.........hadirnya kita di muka bumi adalah untuk diuji oleh-Nya . sh. umamah sy. abdullah al-edrusMay 10 at 8:00pm ·
x

sajak : KATA DAN BICARA



Kata

atas kata,

bicara

atas bicara

menukil ragam cerita

juga ragam makna

Lalu aku terpinga-pinga

Di sebalik kata

atas kata

juga bicara

atas bicara

yang mana harus aku percaya.......!!!!!